• Mukadepan
  • Salam Bicara
  • Hubungi Saya
  • Muat Turun

Wednesday, November 5, 2008

Adakah waris yang membunuh dalam keadaan kurang siuman layak menerima pusaka

Kali ini saya ingin berkongsi berita di bawah (anda mungkin sudah membacanya).

Kes tuntut harta isteri dibunuh didengar 18 Disember

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES

SHAH ALAM 21 Okt. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini buat pertama kali dalam sejarah undang-undang syariah akan mendengar hujah sama ada seorang suami yang menhidap penyakit mental dan telah didapati bersalah membunuh isterinya, berhak dari segi hukum syarak untuk mewarisi harta peninggalan arwah isteri itu.

Hakim Syarie, Saarani Ismail menetapkan 18 Disember ini untuk mendengar hujah kedua-dua belah pihak, berhubung permohonan Amanah Raya Berhad supaya mahkamah mengisytiharkan Suhaimi tidak layak mewarisi harta peninggalan Allahyarham Faizah Arshad yang telah dibunuhnya, kira-kira sembilan tahun lalu.

Suhaimi, kini 48 tahun, sebelum ini diletakkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak atas perkenan Yang di-Pertuan Agong sehingga 4 Oktober 2007 dan kini menjalani hidup seperti biasa di bawah jagaan bapanya di Terengganu. Keputusan tersebut dibuat Mahkamah Persekutuan pada 19 Januari 2005.

Suhaimi didakwa membunuh Faizah, 37, dengan cara menikamnya menggunakan sebilah pisau pada pukul 3 petang, 25 September 1999 di bilik air tingkat bawah rumah mereka di No. 40, Lorong Setiapuspa 1, Bukit Damansara di sini.

Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak, Dr. Rabaiah Mohd. Salleh yang merawat Suhaimi mengesahkan dia menghidap penyakit psikotik dikenali sebagai 'gangguan dilusi' (delusional disorder) yang termasuk dalam jenis 'cemburu'.
Penyakit itu, menurut pakar, menyebabkan Suhaimi mendengar suara ghaib atau halusinasi sehingga mempercayai bahawa isterinya telah berlaku curang.

Dalam prosiding di hadapan hakim syarie Saarani, Amanah Raya Berhad yang diwakili peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar mengemukakan permohonan untuk menggugurkan nama Suhaimi seperti tertera dalam sijil pembahagian harta sebagai salah seorang yang berhak ke atas tiga bahagian daripada jumlah keseluruhan wang tunai RM319,445 peninggalan Faizah.

Sebelum kes itu dibicarakan, bekas bapa mertua Suhaimi mengemukakan permohonan untuk mendapatkan hak sebagai penjaga ad-litem (penjaga kanak-kanak bawah 18 tahun melibatkan harta) kepada cucu-cucunya yang belum cukup umur.

Bekas ibu mertua Suhaimi, Mariam Abdul Latif dan bekas bapa mertuanya, Arshad Shafie yang kedua-duanya berusia lebih 70-an hadir pada prosiding hari ini.
Bantahan

Suhaimi pula telah mengemukakan bantahan bagi mengetepikan permohonan bekas ibu dan bapa mertua yang memohon hak mentadbir harta peninggalan isteri ke atas ketiga-tiga anaknya
Pada 10 September lalu, hakim syarie Saarani membenarkan permohonan bekas bapa mertua, Suhaimi untuk menjadi penjaga ad-litem bagi mewakili tiga anak bekas ahli geologi Petronas Carigali itu sepanjang perbicaraan kes tuntutan Amanah Raya Berhad untuk menggugurkan namanya daripada senarai penerima harta isteri yang telah dibunuhnya.

Pada prosiding hari ini, Zainul Rijal memberitahu bahawa pihaknya bersetuju atas fakta berhubung perkahwinan, faktor kematian, anak-anak dan sijil kematian Allahyarham Faizah Arshad. Memandangkan tidak terdapat sebarang pertikaian mengenai fakta yang dinyatakan, maka pada pendapat Zainul Rijal, perbicaraan boleh diteruskan dengan menyentuh hukum syarak semata-mata.
"Isunya sama ada seseorang yang telah membunuh dalam keadaan dia (Suhaimi) mengalami gangguan mental layak dan berhak mewarisi harta isteri yang telah dibunuhnya.
''Sehubungan itu, kami selaku plaintif memohon tarikh lain untuk pihak-pihak memfailkan hujah bertulis berhubung isu hukum syarak sebelum 20 November ini," kata Zainul Rijal.

Sementara itu, peguam syarie, Musa Awang yang mewakili Suhaimi memohon kebenaran mahkamah agar kehadiran anak guamnya pada prosiding akan datang masih dikecualikan seperti hari ini kerana defendan pertama itu tinggal di Kuala Terengganu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Zainul Rijal berkata, hujah tersebut merangkumi dan mengambil kira pandangan ulamak, enakmen dan undang-undang, al-Quran serta hadis.

sumber: Utusan Malaysia 22.10.2008
Kes tersebut akan membicarakan satu isu perundangan syariah berkaitan iaitu samada seseorang waris yang membunuh pewaris dalam keadaan dia kurang siuman masih layak menerima harta pusaka pewaris yang dibunuhnya.

Berdasarkan hukum umum faraid seseorang waris yang layak menerima pusaka akan hilang kelayakan tersebut sekiranya pewaris yang meninggalkan pusaka tersebut meninggal dunia akibat dibunuh olehnya. Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa yang membunuh seseorang, maka si pembunuh itu tidak boleh mewarisinya, walaupun yang mati itu tidak punya ahli waris selain si pembunuhnya, walaupun yang mati itu bapa atau anak kepada si pembunuhnya. Bagi pembunuh tiada ada hak mewarisi “ (H.R. Ahmad)
Walaubagaimanapun, hukum umum faraid di atas tidak memperincikan samada membunuh dalam keadaan kurang waras juga termasuk di dalam maksud hadis tersebut.
Jadi sama-sama kita nantikan keputusannya...

No comments: