• Mukadepan
  • Salam Bicara
  • Hubungi Saya
  • Muat Turun
Showing posts with label Faraid. Show all posts
Showing posts with label Faraid. Show all posts

Saturday, March 28, 2009

Adakah waris yang membunuh dalam keadaan kurang siuman layak menerima pusaka (Bah. 3)

Salam semua..

Agak lama saya tidak update blog ni...
walaupun berita ini sudah agak lama... dah basi kata orang, saya sambung juga berita kes faraid harta pusaka arwah Faizah Arshad untuk rekod dan pemahaman kita tentang ilmu faraid khususnya tentang kelayakan seorang waris.

Pada 15hb Januari yang laluMahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam telah membenarkan permohonan Amanah Raya Berhad untuk menggugurkan nama bekas ahli geologi Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz daripada senarai penerima harta peninggalan isteri yang dibunuhnya, sembilan tahun lepas.

Hakim Syarie, Saarani Ismail dalam keputusannya berkata:-

"Muhamad Suhaimi terhalang atau hilang kelayakan sebagai waris si mati, Faizah Arshad, mengikut mazhab Syafie yang diamalkan oleh mahkamah di Selangor dan pembunuhan yang dilakukan dianggap mempercepatkan perwarisan harta si mati kepada Muhamad Suhaimi."

"Keputusan itu dibuat bagi menjaga kepentingan anggota keluarga Faizah yang lebih berhak ke atas harta peninggalannya yang berjumlah RM319,445.02"

Terdahulu, dalam penghakimannya, Hakim Saarani berkata:-

"Keempat-empat mazhab dalam Islam iaitu mazhab Imam Shafie, Imam Maliki, Imam Hambali dan Imam Hanafi sepakat berpendapat bahawa pembunuh adalah dihalang daripada mewarisi harta orang yang dibunuhnya, tetapi mempunyai pendapat berlainan mengenai cara pembunuhan itu dilakukan".

''Berdasarkan Imam Shafie, seorang pembunuh tidak layak untuk mewarisi harta orang yang dibunuhnya sama ada dibuat secara sengaja atau tidak sengaja atau terpaksa. Mahkamah bersetuju dengan pendapat Imam Shafie bahawa seorang pembunuh adalah terhalang untuk mewarisi (harta orang yang dibunuhnya) termasuk orang tidak siuman. "

''Pendapat ini bagi menjaga hubungan kekeluargaan kerana pembunuhan boleh dikatakan sebagai cuba untuk mempercepatkan perwarisan harta kepadanya. Mahkamah secara asasnya mengambil kira empat pendapat itu tetapi daripada sudut pengalaman ia lebih mengutamakan pendapat Shafie,''

Selain itu, Hakim Saarani berkata, walaupun Muhamad Suhaimi dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana tidak siuman, mahkamah itu bagaimanapun tidak menafikan bahawa pembunuhan telah dilakukan.

Beliau juga bersetuju dengan hujahan peguam defendan kedua hingga keenam bahawa faktor alat yang digunakan oleh pembunuh boleh mensabitkan niat membunuh.

Sumber dan berita lanjut di Utusan Malaysia 16.01.2009

Walaubagaimanapun, kes tersebut belum boleh dianggap selesai kerana pihak Defendan (Muhamad Suhaimi) telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Selangor pada 28 Januari yang lalu. Berita lanjut sila rujuk disini

Friday, December 19, 2008

Adakah waris yang membunuh dalam keadaan kurang siuman layak menerima pusaka (Bah. 2)

Sambung bicara kita tentang kes kelayakan seorang suami untuk mewarisi harta peninggalan arwah isteri yang dibunuhnya.

Semalam (18 Disember 2008), Hakim Syarie, Saarani Ismail menetapkan 15 Januari 2009 untuk membuat keputusan selepas peguam syarie yang mewakili plaintif serta dua peguam bagi pihak enam defendan memfailkan hujah bertulis masing-masing.

Sumber dan berita lanjut di sini atau di sini

Wednesday, November 5, 2008

Adakah waris yang membunuh dalam keadaan kurang siuman layak menerima pusaka

Kali ini saya ingin berkongsi berita di bawah (anda mungkin sudah membacanya).

Kes tuntut harta isteri dibunuh didengar 18 Disember

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES

SHAH ALAM 21 Okt. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini buat pertama kali dalam sejarah undang-undang syariah akan mendengar hujah sama ada seorang suami yang menhidap penyakit mental dan telah didapati bersalah membunuh isterinya, berhak dari segi hukum syarak untuk mewarisi harta peninggalan arwah isteri itu.

Hakim Syarie, Saarani Ismail menetapkan 18 Disember ini untuk mendengar hujah kedua-dua belah pihak, berhubung permohonan Amanah Raya Berhad supaya mahkamah mengisytiharkan Suhaimi tidak layak mewarisi harta peninggalan Allahyarham Faizah Arshad yang telah dibunuhnya, kira-kira sembilan tahun lalu.

Suhaimi, kini 48 tahun, sebelum ini diletakkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak atas perkenan Yang di-Pertuan Agong sehingga 4 Oktober 2007 dan kini menjalani hidup seperti biasa di bawah jagaan bapanya di Terengganu. Keputusan tersebut dibuat Mahkamah Persekutuan pada 19 Januari 2005.

Suhaimi didakwa membunuh Faizah, 37, dengan cara menikamnya menggunakan sebilah pisau pada pukul 3 petang, 25 September 1999 di bilik air tingkat bawah rumah mereka di No. 40, Lorong Setiapuspa 1, Bukit Damansara di sini.

Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak, Dr. Rabaiah Mohd. Salleh yang merawat Suhaimi mengesahkan dia menghidap penyakit psikotik dikenali sebagai 'gangguan dilusi' (delusional disorder) yang termasuk dalam jenis 'cemburu'.
Penyakit itu, menurut pakar, menyebabkan Suhaimi mendengar suara ghaib atau halusinasi sehingga mempercayai bahawa isterinya telah berlaku curang.

Dalam prosiding di hadapan hakim syarie Saarani, Amanah Raya Berhad yang diwakili peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar mengemukakan permohonan untuk menggugurkan nama Suhaimi seperti tertera dalam sijil pembahagian harta sebagai salah seorang yang berhak ke atas tiga bahagian daripada jumlah keseluruhan wang tunai RM319,445 peninggalan Faizah.

Sebelum kes itu dibicarakan, bekas bapa mertua Suhaimi mengemukakan permohonan untuk mendapatkan hak sebagai penjaga ad-litem (penjaga kanak-kanak bawah 18 tahun melibatkan harta) kepada cucu-cucunya yang belum cukup umur.

Bekas ibu mertua Suhaimi, Mariam Abdul Latif dan bekas bapa mertuanya, Arshad Shafie yang kedua-duanya berusia lebih 70-an hadir pada prosiding hari ini.
Bantahan

Suhaimi pula telah mengemukakan bantahan bagi mengetepikan permohonan bekas ibu dan bapa mertua yang memohon hak mentadbir harta peninggalan isteri ke atas ketiga-tiga anaknya
Pada 10 September lalu, hakim syarie Saarani membenarkan permohonan bekas bapa mertua, Suhaimi untuk menjadi penjaga ad-litem bagi mewakili tiga anak bekas ahli geologi Petronas Carigali itu sepanjang perbicaraan kes tuntutan Amanah Raya Berhad untuk menggugurkan namanya daripada senarai penerima harta isteri yang telah dibunuhnya.

Pada prosiding hari ini, Zainul Rijal memberitahu bahawa pihaknya bersetuju atas fakta berhubung perkahwinan, faktor kematian, anak-anak dan sijil kematian Allahyarham Faizah Arshad. Memandangkan tidak terdapat sebarang pertikaian mengenai fakta yang dinyatakan, maka pada pendapat Zainul Rijal, perbicaraan boleh diteruskan dengan menyentuh hukum syarak semata-mata.
"Isunya sama ada seseorang yang telah membunuh dalam keadaan dia (Suhaimi) mengalami gangguan mental layak dan berhak mewarisi harta isteri yang telah dibunuhnya.
''Sehubungan itu, kami selaku plaintif memohon tarikh lain untuk pihak-pihak memfailkan hujah bertulis berhubung isu hukum syarak sebelum 20 November ini," kata Zainul Rijal.

Sementara itu, peguam syarie, Musa Awang yang mewakili Suhaimi memohon kebenaran mahkamah agar kehadiran anak guamnya pada prosiding akan datang masih dikecualikan seperti hari ini kerana defendan pertama itu tinggal di Kuala Terengganu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Zainul Rijal berkata, hujah tersebut merangkumi dan mengambil kira pandangan ulamak, enakmen dan undang-undang, al-Quran serta hadis.

sumber: Utusan Malaysia 22.10.2008
Kes tersebut akan membicarakan satu isu perundangan syariah berkaitan iaitu samada seseorang waris yang membunuh pewaris dalam keadaan dia kurang siuman masih layak menerima harta pusaka pewaris yang dibunuhnya.

Berdasarkan hukum umum faraid seseorang waris yang layak menerima pusaka akan hilang kelayakan tersebut sekiranya pewaris yang meninggalkan pusaka tersebut meninggal dunia akibat dibunuh olehnya. Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa yang membunuh seseorang, maka si pembunuh itu tidak boleh mewarisinya, walaupun yang mati itu tidak punya ahli waris selain si pembunuhnya, walaupun yang mati itu bapa atau anak kepada si pembunuhnya. Bagi pembunuh tiada ada hak mewarisi “ (H.R. Ahmad)
Walaubagaimanapun, hukum umum faraid di atas tidak memperincikan samada membunuh dalam keadaan kurang waras juga termasuk di dalam maksud hadis tersebut.
Jadi sama-sama kita nantikan keputusannya...

Thursday, August 21, 2008

Konvensyen Faraid Dan Hibah Kebangsaan 2008

Pada 7 hb Ogos yang lalu telah di adakan Konvensyen dan Kebangsaan 2008 bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malyasia (JAKIM) bersama Amanah Raya Berhad.

Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir di majlis tersebut walaupun cuma sempat mengikuti pembentangan dua kertas kerja sahaja kerana hambatan kerja. Kertas kerja pertama oleh Prof. Madya Mohd Ridzuan Awang dr UKM dengan tajuk "Faraid: Manifestasi Pelaksanaanya Dalam Pengurusan Harta Dalam Islam" dan yang kedua "Hibah Sebagai Instrumen Perwarisan Harta: Aplikasi dan Hukum di Malaysia" oleh Ustaz Zamro bin Muda juga dari UKM.

Memandangkan ini adalah satu konvensyen yang pada akhir sesi akan menzahirkan satu usul berkaitan dengan faraid dan hibah, pembentang kertas kerja bukan sahaja mengupas dan menghuraikan tajuk yang dibentangkan malah mengemukakan cadangan kepada permasalahan yang berkaitan faraid dan hibah.
Antara yang menarik perhatian saya cadangan oleh Prof. Madya Mohd Ridzuan Awang yang mencadangkan cadangan program pengiraan pembahagian faraid dalam talian iaitu E-Faraid dan E-Syariah disemak semula bagi tujuan penyeragaman kerana terdapat situasi di mana kedua-dua program memberikan jawapan yang berlainan bagi fakta yang sama (saya terlupa mencatit contoh yang diberikan). Bagi saya perkara ini perlu diberi perhatian segera oleh pihak yang berkenaan kerana kedua-dua program digunakan oleh orang ramai dalam pengiraan pembahagian faraid.
Ustaz Zamro bin Muda pula, selepas menghuraikan bahawa pelaksanaan hibah terutama produk hibah al-'Umra dan al-Ruqba masih boleh dipertikaikan kerana perbezaan pendapat-pendapat ulama, mencadangkan antara lain:-
  • di wujudkan undang-undang khusus mengenai hibah;
  • perlu diadakan penerangan secara berterusan berkaitan produk hibah
  • pemantauan dan pengawasan secara berpusat hendaklah dilakukan terhadap agensi-agensi yang mengendalikan produk hibah;
  • perlu ada Fatwa yang jelas berkaitan dengan hibah untulk dijadikan garis panduan.