• Mukadepan
  • Salam Bicara
  • Hubungi Saya
  • Muat Turun
Showing posts with label isu harta pusaka. Show all posts
Showing posts with label isu harta pusaka. Show all posts

Saturday, May 9, 2009

Keluarga balu kedua Raja Nong Chik dibenar mencelah

Salam...

Hari ini dilaporkan kes pembahagian harta pusaka allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak yang bermula sejak tahun 1994 (saya baru masuk matrikulasi dalam tahun tu) dan berlarutan sehingga ke hari ini.

Keluarga balu kedua Raja Nong Chik dibenar mencelah

PUTRAJAYA 8 Mei - Keluarga balu kedua kepada Allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak dibenarkan mencelah dalam rayuan (ARB) berhubung pembahagian harta pusaka milik ahli perniagaan terkenal itu yang dianggarkan melebihi RM16 juta.

Ahli keluarga tersebut merupakan lima anak kepada balu kedua, Jumaaton @ Zaiton Awang. Mereka ialah Raja Delila, Raja Yurihana, Raja Iskandar, Raja Akbar dan Raja Norlina.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Wira Low Hop Bing membenarkan permohonan kesemua pemohon setelah berpuas hati bahawa mereka adalah penama yang sah dan mempunyai kepentingan secara langsung dalam rayuan melibatkan tuntutan harta pusaka itu....

.....Beliau menyatakan, pemohon-pemohon memenuhi syarat untuk dinamakan sebagai pencelah setelah membuktikan bahawa kehadiran mereka mempunyai kaitan langsung dengan isu yang dibangkitkan dalam rayuan tersebut.

Hakim Hop Bing turut menyatakan, Perintah 15 Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Mahkamah Tinggi 1980 memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk memasukkan mana-mana pemohon sebagai pihak dalam rayuan....

.....Anak-anak allahyarham bersama balu pertama ialah Raja Hanipuddin, Raja Sallehudin, Raja Hizaruddin, Raja Taharuddin, Raja Noraini dan Cik Normah merupakan defendan kedua hingga ketujuh.....

......Pemohon-pemohon menyatakan, hak mereka selaku penama yang sah dinafikan berikutan tindakan Raja Rajmah dan 12 defendan lain yang dikatakan memindahkan saham secara penipuan menyebabkan pemohon-pemohon mengalami kerugian.


Sumber dan berita lanjut disini


Kes tersebut adalah lanjutan daripada rayuan ARB selaku pentadbir harta pusaka allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman ke atas balu pertama allahyarham, Raja Rajmah Raja Chik dan 12 yang menuntut perintah agar perpindahan saham-saham milik allahyarham kepada pihak lain diisytiharkan sebagai tidak sah. Pada 7 April 2004, Hakim Datuk Abdul Wahab Patail membatalkan saman itu dengan kos dibayar oleh ARB.

Bagi anda yang tercari-cari maklumat tentang pewarisan harta pusaka, kes di atas mungkin nampak tiada kena mengena dengan masalah anda. Namun dari satu sudutkes pusaka Allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak ini sebenarnya banyak melibatkan isu-isu perundangan pusaka termasuk bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Jadi pada pendapat saya jika anda ingin memahami dengan lebih lanjut tentang pewarisan harta pusaka di Malaysia terutama berkaitan perundangan yang terlibat, maka kes harta pusaka Allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak antara yang perlu anda telusuri.

Bicara Pewarisan Harta

Saturday, March 28, 2009

Adakah waris yang membunuh dalam keadaan kurang siuman layak menerima pusaka (Bah. 3)

Salam semua..

Agak lama saya tidak update blog ni...
walaupun berita ini sudah agak lama... dah basi kata orang, saya sambung juga berita kes faraid harta pusaka arwah Faizah Arshad untuk rekod dan pemahaman kita tentang ilmu faraid khususnya tentang kelayakan seorang waris.

Pada 15hb Januari yang laluMahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam telah membenarkan permohonan Amanah Raya Berhad untuk menggugurkan nama bekas ahli geologi Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz daripada senarai penerima harta peninggalan isteri yang dibunuhnya, sembilan tahun lepas.

Hakim Syarie, Saarani Ismail dalam keputusannya berkata:-

"Muhamad Suhaimi terhalang atau hilang kelayakan sebagai waris si mati, Faizah Arshad, mengikut mazhab Syafie yang diamalkan oleh mahkamah di Selangor dan pembunuhan yang dilakukan dianggap mempercepatkan perwarisan harta si mati kepada Muhamad Suhaimi."

"Keputusan itu dibuat bagi menjaga kepentingan anggota keluarga Faizah yang lebih berhak ke atas harta peninggalannya yang berjumlah RM319,445.02"

Terdahulu, dalam penghakimannya, Hakim Saarani berkata:-

"Keempat-empat mazhab dalam Islam iaitu mazhab Imam Shafie, Imam Maliki, Imam Hambali dan Imam Hanafi sepakat berpendapat bahawa pembunuh adalah dihalang daripada mewarisi harta orang yang dibunuhnya, tetapi mempunyai pendapat berlainan mengenai cara pembunuhan itu dilakukan".

''Berdasarkan Imam Shafie, seorang pembunuh tidak layak untuk mewarisi harta orang yang dibunuhnya sama ada dibuat secara sengaja atau tidak sengaja atau terpaksa. Mahkamah bersetuju dengan pendapat Imam Shafie bahawa seorang pembunuh adalah terhalang untuk mewarisi (harta orang yang dibunuhnya) termasuk orang tidak siuman. "

''Pendapat ini bagi menjaga hubungan kekeluargaan kerana pembunuhan boleh dikatakan sebagai cuba untuk mempercepatkan perwarisan harta kepadanya. Mahkamah secara asasnya mengambil kira empat pendapat itu tetapi daripada sudut pengalaman ia lebih mengutamakan pendapat Shafie,''

Selain itu, Hakim Saarani berkata, walaupun Muhamad Suhaimi dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana tidak siuman, mahkamah itu bagaimanapun tidak menafikan bahawa pembunuhan telah dilakukan.

Beliau juga bersetuju dengan hujahan peguam defendan kedua hingga keenam bahawa faktor alat yang digunakan oleh pembunuh boleh mensabitkan niat membunuh.

Sumber dan berita lanjut di Utusan Malaysia 16.01.2009

Walaubagaimanapun, kes tersebut belum boleh dianggap selesai kerana pihak Defendan (Muhamad Suhaimi) telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Selangor pada 28 Januari yang lalu. Berita lanjut sila rujuk disini

Wednesday, November 5, 2008

Adakah waris yang membunuh dalam keadaan kurang siuman layak menerima pusaka

Kali ini saya ingin berkongsi berita di bawah (anda mungkin sudah membacanya).

Kes tuntut harta isteri dibunuh didengar 18 Disember

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES

SHAH ALAM 21 Okt. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini buat pertama kali dalam sejarah undang-undang syariah akan mendengar hujah sama ada seorang suami yang menhidap penyakit mental dan telah didapati bersalah membunuh isterinya, berhak dari segi hukum syarak untuk mewarisi harta peninggalan arwah isteri itu.

Hakim Syarie, Saarani Ismail menetapkan 18 Disember ini untuk mendengar hujah kedua-dua belah pihak, berhubung permohonan Amanah Raya Berhad supaya mahkamah mengisytiharkan Suhaimi tidak layak mewarisi harta peninggalan Allahyarham Faizah Arshad yang telah dibunuhnya, kira-kira sembilan tahun lalu.

Suhaimi, kini 48 tahun, sebelum ini diletakkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak atas perkenan Yang di-Pertuan Agong sehingga 4 Oktober 2007 dan kini menjalani hidup seperti biasa di bawah jagaan bapanya di Terengganu. Keputusan tersebut dibuat Mahkamah Persekutuan pada 19 Januari 2005.

Suhaimi didakwa membunuh Faizah, 37, dengan cara menikamnya menggunakan sebilah pisau pada pukul 3 petang, 25 September 1999 di bilik air tingkat bawah rumah mereka di No. 40, Lorong Setiapuspa 1, Bukit Damansara di sini.

Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak, Dr. Rabaiah Mohd. Salleh yang merawat Suhaimi mengesahkan dia menghidap penyakit psikotik dikenali sebagai 'gangguan dilusi' (delusional disorder) yang termasuk dalam jenis 'cemburu'.
Penyakit itu, menurut pakar, menyebabkan Suhaimi mendengar suara ghaib atau halusinasi sehingga mempercayai bahawa isterinya telah berlaku curang.

Dalam prosiding di hadapan hakim syarie Saarani, Amanah Raya Berhad yang diwakili peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar mengemukakan permohonan untuk menggugurkan nama Suhaimi seperti tertera dalam sijil pembahagian harta sebagai salah seorang yang berhak ke atas tiga bahagian daripada jumlah keseluruhan wang tunai RM319,445 peninggalan Faizah.

Sebelum kes itu dibicarakan, bekas bapa mertua Suhaimi mengemukakan permohonan untuk mendapatkan hak sebagai penjaga ad-litem (penjaga kanak-kanak bawah 18 tahun melibatkan harta) kepada cucu-cucunya yang belum cukup umur.

Bekas ibu mertua Suhaimi, Mariam Abdul Latif dan bekas bapa mertuanya, Arshad Shafie yang kedua-duanya berusia lebih 70-an hadir pada prosiding hari ini.
Bantahan

Suhaimi pula telah mengemukakan bantahan bagi mengetepikan permohonan bekas ibu dan bapa mertua yang memohon hak mentadbir harta peninggalan isteri ke atas ketiga-tiga anaknya
Pada 10 September lalu, hakim syarie Saarani membenarkan permohonan bekas bapa mertua, Suhaimi untuk menjadi penjaga ad-litem bagi mewakili tiga anak bekas ahli geologi Petronas Carigali itu sepanjang perbicaraan kes tuntutan Amanah Raya Berhad untuk menggugurkan namanya daripada senarai penerima harta isteri yang telah dibunuhnya.

Pada prosiding hari ini, Zainul Rijal memberitahu bahawa pihaknya bersetuju atas fakta berhubung perkahwinan, faktor kematian, anak-anak dan sijil kematian Allahyarham Faizah Arshad. Memandangkan tidak terdapat sebarang pertikaian mengenai fakta yang dinyatakan, maka pada pendapat Zainul Rijal, perbicaraan boleh diteruskan dengan menyentuh hukum syarak semata-mata.
"Isunya sama ada seseorang yang telah membunuh dalam keadaan dia (Suhaimi) mengalami gangguan mental layak dan berhak mewarisi harta isteri yang telah dibunuhnya.
''Sehubungan itu, kami selaku plaintif memohon tarikh lain untuk pihak-pihak memfailkan hujah bertulis berhubung isu hukum syarak sebelum 20 November ini," kata Zainul Rijal.

Sementara itu, peguam syarie, Musa Awang yang mewakili Suhaimi memohon kebenaran mahkamah agar kehadiran anak guamnya pada prosiding akan datang masih dikecualikan seperti hari ini kerana defendan pertama itu tinggal di Kuala Terengganu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Zainul Rijal berkata, hujah tersebut merangkumi dan mengambil kira pandangan ulamak, enakmen dan undang-undang, al-Quran serta hadis.

sumber: Utusan Malaysia 22.10.2008
Kes tersebut akan membicarakan satu isu perundangan syariah berkaitan iaitu samada seseorang waris yang membunuh pewaris dalam keadaan dia kurang siuman masih layak menerima harta pusaka pewaris yang dibunuhnya.

Berdasarkan hukum umum faraid seseorang waris yang layak menerima pusaka akan hilang kelayakan tersebut sekiranya pewaris yang meninggalkan pusaka tersebut meninggal dunia akibat dibunuh olehnya. Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa yang membunuh seseorang, maka si pembunuh itu tidak boleh mewarisinya, walaupun yang mati itu tidak punya ahli waris selain si pembunuhnya, walaupun yang mati itu bapa atau anak kepada si pembunuhnya. Bagi pembunuh tiada ada hak mewarisi “ (H.R. Ahmad)
Walaubagaimanapun, hukum umum faraid di atas tidak memperincikan samada membunuh dalam keadaan kurang waras juga termasuk di dalam maksud hadis tersebut.
Jadi sama-sama kita nantikan keputusannya...

Friday, December 7, 2007

Salah faham, kurang faham atau memang tak tahu langsung

Berdasarkan pembacaan dan pengamatan terhadap masyarakat sekeliling, terdapat tiga sebab utama mengapa masalah pengurusan harta pusaka berada di tahap seperti sekarang iaitu:-


1. Sikap waris.
2. Kurang pengetahuan berkaitan ilmu pewarisan harta mengikut syariah.
2. Kurang faham sistem pentadbiran dan perundangan negara yang berkaitan.

Sikap Waris
Ini lebih berkisar kepada sifat tamak dan cintakan dunia. Sikap negatif ini mungkin akan menyebabkan orang yang mahir ilmu faraidh dan faham perundangan berkaitan pewarisan harta menggunakan pengetahuannya untuk kepentingan peribadi semata-mata. Maka terjadilah kes-kes harta pusaka berwasiat sekalipun tertangguh bertahun-tahun kerana bantahan waris yang tidak berpuashati.


Kurang pengetahuan berkaitan ilmu pewarisan harta mengikut syariah
Perkara ini terjadi samada di peringkat si empunya harta atau warisnya. Paling biasa kedengaran adalah berkaitan waris yang layak menerima harta secara faraidh. Sebagai contoh masih ramai pasangan yang berkahwin, kemudian kematian pasangan, mempertikaikan mengapa mertuanya juga berhak keatas harta pasangannya sedangkan mereka mempunyai anak-anak. Perkara asas sebegini (siapa waris simati) sepatutnya perlu diketahui oleh semua orang Islam yang mukallaf.


Kurang faham sistem pentadbiran dan perundangan negara
Kewujudan banyak pihak yang bertanggungjawab antaranya Mahkamah Tinggi , Mahkamah Syariah, Pejabat Pusaka Kecil dan Amanah Raya Berhad telah menimbulkan kekeliruan dikalangan waris dalam menguruskan harta pusaka mereka.


Kesimpulannya masalah ini sebahagian besarnya adalah berpusat kepada ketiadaan atau kekurangan ilmu berkaitan pewarisan harta.


Ilmu... Ilmu... Ilmu... Jom belajar...baca...bertanya...

Wednesday, December 5, 2007

Kenapa sampai jadi begini?

Harta pusaka tidak dituntut cecah RM40b
KUALA LUMPUR 10 Julai – Nilai hartanah dan jumlah wang yang tidak dituntut disebabkan isu pewaris yang tidak dapat diselesaikan, terdiri daripada semua kaum di negara ini, mencecah RM40 bilion sehingga kini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM38 bilion terdiri adalah hartanah kaum Melayu.
“Sebanyak RM1.8 bilion wang yang tidak dituntut dari Pendaftar Wang Yang Tidak Dituntut dan wang tidak diselesaikan pewarisnya yang berada di bawah kawalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, koperasi-koperasi dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) terdiri daripada harta semua kaum bernilai RM70 juta. - Utusan Malaysia 11 Julai 2007