
Salam,
Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1431 kepada semua pengunjung blog ni.
Semoga tahun ini akan menjadi tahun terbaik buat kita semua dalam mencapai apa saja yang kita usahakan. Amin...
Saturday, December 19, 2009
Selamat Tahun Baru Hijrah 1431
oleh aremko 0 Bicara tamu
Wednesday, October 14, 2009
RM2,000,000.00 Had Maksimum Harta Pusaka Kecil
Ingat lagi entri saya yang terdahulu di sini, saya ada maklumkan tentang pindaan jumlah nilaian maksimum harta pusaka kecil dari RM600,000.00 kepada RM2,000,000.00.
Ya, untuk makluman semua pindaan terhadap Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 tersebut telah berkuatkuasa mulai 1 hb September 2009 yang lalu, boleh rujuk di sini.
Jadi bagi harta pusaka yang bernilai RM600,000.00 hingga RM2,000,000.00, dan melibatkan harta tak alih (immovable property) dan tiada wasiat dibawah Akta Wasiat 1959, waris bolehlah membuat permohonan pembahagian di Pejabat Pusaka Kecil dan bukan lagi di Mahkamah Tinggi seperti sebelum ini.
Saya percaya pindaan ini akan memberi banyak manfaat kepada semua terutama dalam menjimatkan kos pembahagian pusaka. Tapi untuk rakan-rakan probate lawyer minta maaf la... kes kurang la sikit lor...ish..ish.
p.s. Selamat Hari Raya Aidil Fitri untuk semua yang singgah di blog ni...hari ni dah 25hb Syawal dah.. baru nak ucap.
oleh aremko 0 Bicara tamu
Sunday, June 21, 2009
Seminar harta pusaka dan wasiat
Salam...
Saya ada dua makluman yang ingin dikongsikan... anda mungkin sudah mengetahuinya:
1. Seminar bertajuk "SYARIAH LAW ON HARTA PUSAKA & WASIAT" anjuran Jawatankuasa Peguam Selangor.
Tarikh : 30 Jun 2009 (Selasa)
Masa : 5.30 petang
Tempat : Selangor Bar Committee Auditorium, No. 41, Jalan Bola Jaring 13/15, Seksyen 1, 40100 Shah Alam,Selangor Darul Ehsan
Speaker : Dr. Yusof B. Ramli
Lecturer - Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam(UiTM)
Advisor of Syariah Management, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)
Advisor of Syariah Management, Bank Islam Malaysia Berhad BIMB Investment Management
Yuran bagi peserta bukan ahli adalah RM40.00.
Untuk muat turun brochure dan borang pendaftaran sila layari laman web Penganjur di sini
2. Seminar "PERANCANGAN HARTA PUSAKA ISLAM" anjuran bersama Yayasan Khidmat Bakti Masyarakat Malaysia dengan kerjasama as-Salihin Trustee Berhad.
Butir-butir mengenai seminar tersebut adalah seperti berikut:
Tarikh/Hari: 25 Jun 2009 / Khamis
Waktu : 9.00 pg – 4.00 ptg
Tempat : Auditorium Institut Integriti Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur
Topik yang dibincangkan adalah seperti berikut:Perancangan pusaka Islam yang lengkap (as-Salihin)
Perancangan perniagaan (as-Salihin)
Masalah kebekuan harta pusaka dan efeknya kepada ekonomi Malaysia (Bank Negara)
Perkaitan agama dalam perancangan harta Islam (JAKIM)
Bayaran penyertaan adalah sebanyak RM 350.
Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web Penganjur di sini
oleh aremko 0 Bicara tamu
Tuesday, June 9, 2009
09.06.09
Salam...
Entri kali ini personal sikit...
Tiada apapun sebenarnya.... cuma ingin catatkan sesuatu pada hari ini... tanggal 09.06.09. .....Bukan sahaja kerana susunan nombornya tetapi hari ini ... hari saya.
Dan kepada saya, "ingatlah hari ini tidak akan berulang...."
oleh aremko 2 Bicara tamu
Saturday, May 9, 2009
Keluarga balu kedua Raja Nong Chik dibenar mencelah
Hari ini dilaporkan kes pembahagian harta pusaka allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak yang bermula sejak tahun 1994 (saya baru masuk matrikulasi dalam tahun tu) dan berlarutan sehingga ke hari ini.
Keluarga balu kedua Raja Nong Chik dibenar mencelah
PUTRAJAYA 8 Mei - Keluarga balu kedua kepada Allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak dibenarkan mencelah dalam rayuan Amanah Raya Berhad (ARB) berhubung pembahagian harta pusaka milik ahli perniagaan terkenal itu yang dianggarkan melebihi RM16 juta.
Ahli keluarga tersebut merupakan lima anak kepada balu kedua, Jumaaton @ Zaiton Awang. Mereka ialah Raja Delila, Raja Yurihana, Raja Iskandar, Raja Akbar dan Raja Norlina.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Wira Low Hop Bing membenarkan permohonan kesemua pemohon setelah berpuas hati bahawa mereka adalah penama yang sah dan mempunyai kepentingan secara langsung dalam rayuan melibatkan tuntutan harta pusaka itu....
.....Beliau menyatakan, pemohon-pemohon memenuhi syarat untuk dinamakan sebagai pencelah setelah membuktikan bahawa kehadiran mereka mempunyai kaitan langsung dengan isu yang dibangkitkan dalam rayuan tersebut.
Hakim Hop Bing turut menyatakan, Perintah 15 Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Mahkamah Tinggi 1980 memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk memasukkan mana-mana pemohon sebagai pihak dalam rayuan....
.....Anak-anak allahyarham bersama balu pertama ialah Raja Hanipuddin, Raja Sallehudin, Raja Hizaruddin, Raja Taharuddin, Raja Noraini dan Cik Normah merupakan defendan kedua hingga ketujuh.....
......Pemohon-pemohon menyatakan, hak mereka selaku penama yang sah dinafikan berikutan tindakan Raja Rajmah dan 12 defendan lain yang dikatakan memindahkan saham secara penipuan menyebabkan pemohon-pemohon mengalami kerugian.
Kes tersebut adalah lanjutan daripada rayuan ARB selaku pentadbir harta pusaka allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman ke atas balu pertama allahyarham, Raja Rajmah Raja Chik dan 12 yang menuntut perintah agar perpindahan saham-saham milik allahyarham kepada pihak lain diisytiharkan sebagai tidak sah. Pada 7 April 2004, Hakim Datuk Abdul Wahab Patail membatalkan saman itu dengan kos dibayar oleh ARB.
Bagi anda yang tercari-cari maklumat tentang pewarisan harta pusaka, kes di atas mungkin nampak tiada kena mengena dengan masalah anda. Namun dari satu sudutkes pusaka Allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak ini sebenarnya banyak melibatkan isu-isu perundangan pusaka termasuk bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
Jadi pada pendapat saya jika anda ingin memahami dengan lebih lanjut tentang pewarisan harta pusaka di Malaysia terutama berkaitan perundangan yang terlibat, maka kes harta pusaka Allahyarham Raja Nong Chik Raja Ishak antara yang perlu anda telusuri.
oleh aremko 0 Bicara tamu
Friday, May 1, 2009
RM38 Billion Pusaka Belum Dituntut
Kali ini saya ingin berkongsi sebuah lagi buku yang membicarakan tentang pewarisan harta iaitu buku "RM38 Billion Pusaka Belum Dituntut" tulisanUstaz Md Ghazali Ibrahim (Ust. Ghazali).
Saya tidaklah mampu untuk mengulas buku ini atau mana-mana buku. Buku ini dan buku-buku yang telah dan akan saya paparkan di weblog ini hanyalah sekadar makluman tentang kewujudan buku tersebut.
Walau bagaimanpun, saya cuba menulis sedikit sebanyak apa yang saya faham daripada buku-buku tersebut.
Umpamanya tentang buku ini, antara yang terkesan dalam kandungannya adalah peringatan Penulis tentang kaedah pengiraan waris yang selalunya akan bertambah dengan kematian dan bukan sebaliknya.Tulis Ust. Ghazali :
...Dalam bab harta pusaka, bila berlaku kematian jumlah warisnya bukan berkurangan tetapi semakin bertambah. Mungkin yang mati tadi meninggalkan 10 orang waris. Bermakna penama telah bertambah kepada 159 orang.
159 orang cuba berunding lagi. Tiba-tiba mati lagi seorang, tinggal 158 orang. rupanya seorang yang mati tadi ada 4 orang isteri dan setiap satu isteri mempuntai 10 orang anak yang berbinkan almarhum.
Bermakna dari 159 orang berkurang sekejap kepada 158 dan kemudian ditambah 44orang. Maka jumlahnya bertambah menjadi 202 orang dan begitulah seterusnya.
oleh aremko 0 Bicara tamu
Sunday, March 29, 2009
MUAT TURUN: Harta Pusaka Kecil
- Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Small Estate (Distribution) Act, 1955]
Muat Turun - Artikel Pembahagian Harta Pusaka Kecil; Muat Turun
- "BORANG A", borang permohonan pembahagian harta pusaka kecil; Muat Turun
- Panduan mengisi Borang A; Muat Turun
- Dokumen diperlukan semasa mengemukakan Borang A; Muat Turun
- "BORANG PERSETUJUAN" waris; Muat Turun
- "BORANG P", borang permohonan perintah yang kemudian (selepas perintah pembahagian telah dikeluarkan; Muat Turun
- Dokumen diperlukan semasa mengemukakan Borang P; Muat Turun
- Panduan menghadiri perbicaraan harta pusaka kecil; Muat turun
oleh aremko 0 Bicara tamu
Saturday, March 28, 2009
Adakah waris yang membunuh dalam keadaan kurang siuman layak menerima pusaka (Bah. 3)
Agak lama saya tidak update blog ni...
Pada 15hb Januari yang laluMahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam telah membenarkan permohonan Amanah Raya Berhad untuk menggugurkan nama bekas ahli geologi Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz daripada senarai penerima harta peninggalan isteri yang dibunuhnya, sembilan tahun lepas.
Hakim Syarie, Saarani Ismail dalam keputusannya berkata:-
"Muhamad Suhaimi terhalang atau hilang kelayakan sebagai waris si mati, Faizah Arshad, mengikut mazhab Syafie yang diamalkan oleh mahkamah di Selangor dan pembunuhan yang dilakukan dianggap mempercepatkan perwarisan harta si mati kepada Muhamad Suhaimi."
"Keputusan itu dibuat bagi menjaga kepentingan anggota keluarga Faizah yang lebih berhak ke atas harta peninggalannya yang berjumlah RM319,445.02"
Terdahulu, dalam penghakimannya, Hakim Saarani berkata:-
"Keempat-empat mazhab dalam Islam iaitu mazhab Imam Shafie, Imam Maliki, Imam Hambali dan Imam Hanafi sepakat berpendapat bahawa pembunuh adalah dihalang daripada mewarisi harta orang yang dibunuhnya, tetapi mempunyai pendapat berlainan mengenai cara pembunuhan itu dilakukan".
''Berdasarkan Imam Shafie, seorang pembunuh tidak layak untuk mewarisi harta orang yang dibunuhnya sama ada dibuat secara sengaja atau tidak sengaja atau terpaksa. Mahkamah bersetuju dengan pendapat Imam Shafie bahawa seorang pembunuh adalah terhalang untuk mewarisi (harta orang yang dibunuhnya) termasuk orang tidak siuman. "
''Pendapat ini bagi menjaga hubungan kekeluargaan kerana pembunuhan boleh dikatakan sebagai cuba untuk mempercepatkan perwarisan harta kepadanya. Mahkamah secara asasnya mengambil kira empat pendapat itu tetapi daripada sudut pengalaman ia lebih mengutamakan pendapat Shafie,''
Selain itu, Hakim Saarani berkata, walaupun Muhamad Suhaimi dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana tidak siuman, mahkamah itu bagaimanapun tidak menafikan bahawa pembunuhan telah dilakukan.
Beliau juga bersetuju dengan hujahan peguam defendan kedua hingga keenam bahawa faktor alat yang digunakan oleh pembunuh boleh mensabitkan niat membunuh.
Sumber dan berita lanjut di Utusan Malaysia 16.01.2009
Walaubagaimanapun, kes tersebut belum boleh dianggap selesai kerana pihak Defendan (Muhamad Suhaimi) telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Selangor pada 28 Januari yang lalu. Berita lanjut sila rujuk disini
oleh aremko 0 Bicara tamu
Friday, December 19, 2008
Adakah waris yang membunuh dalam keadaan kurang siuman layak menerima pusaka (Bah. 2)
Semalam (18 Disember 2008), Hakim Syarie, Saarani Ismail menetapkan 15 Januari 2009 untuk membuat keputusan selepas peguam syarie yang mewakili plaintif serta dua peguam bagi pihak enam defendan memfailkan hujah bertulis masing-masing.
Sumber dan berita lanjut di sini atau di sini
oleh aremko 0 Bicara tamu
Wednesday, November 5, 2008
Adakah waris yang membunuh dalam keadaan kurang siuman layak menerima pusaka
Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
SHAH ALAM 21 Okt. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini buat pertama kali dalam sejarah undang-undang syariah akan mendengar hujah sama ada seorang suami yang menhidap penyakit mental dan telah didapati bersalah membunuh isterinya, berhak dari segi hukum syarak untuk mewarisi harta peninggalan arwah isteri itu.
Hakim Syarie, Saarani Ismail menetapkan 18 Disember ini untuk mendengar hujah kedua-dua belah pihak, berhubung permohonan Amanah Raya Berhad supaya mahkamah mengisytiharkan Suhaimi tidak layak mewarisi harta peninggalan Allahyarham Faizah Arshad yang telah dibunuhnya, kira-kira sembilan tahun lalu.
Suhaimi didakwa membunuh Faizah, 37, dengan cara menikamnya menggunakan sebilah pisau pada pukul 3 petang, 25 September 1999 di bilik air tingkat bawah rumah mereka di No. 40, Lorong Setiapuspa 1, Bukit Damansara di sini.
Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak, Dr. Rabaiah Mohd. Salleh yang merawat Suhaimi mengesahkan dia menghidap penyakit psikotik dikenali sebagai 'gangguan dilusi' (delusional disorder) yang termasuk dalam jenis 'cemburu'.
Penyakit itu, menurut pakar, menyebabkan Suhaimi mendengar suara ghaib atau halusinasi sehingga mempercayai bahawa isterinya telah berlaku curang.
Pada 10 September lalu, hakim syarie Saarani membenarkan permohonan bekas bapa mertua, Suhaimi untuk menjadi penjaga ad-litem bagi mewakili tiga anak bekas ahli geologi Petronas Carigali itu sepanjang perbicaraan kes tuntutan Amanah Raya Berhad untuk menggugurkan namanya daripada senarai penerima harta isteri yang telah dibunuhnya.
Pada prosiding hari ini, Zainul Rijal memberitahu bahawa pihaknya bersetuju atas fakta berhubung perkahwinan, faktor kematian, anak-anak dan sijil kematian Allahyarham Faizah Arshad. Memandangkan tidak terdapat sebarang pertikaian mengenai fakta yang dinyatakan, maka pada pendapat Zainul Rijal, perbicaraan boleh diteruskan dengan menyentuh hukum syarak semata-mata.
"Isunya sama ada seseorang yang telah membunuh dalam keadaan dia (Suhaimi) mengalami gangguan mental layak dan berhak mewarisi harta isteri yang telah dibunuhnya.
''Sehubungan itu, kami selaku plaintif memohon tarikh lain untuk pihak-pihak memfailkan hujah bertulis berhubung isu hukum syarak sebelum 20 November ini," kata Zainul Rijal.
sumber: Utusan Malaysia 22.10.2008
Berdasarkan hukum umum faraid seseorang waris yang layak menerima pusaka akan hilang kelayakan tersebut sekiranya pewaris yang meninggalkan pusaka tersebut meninggal dunia akibat dibunuh olehnya. Rasulullah bersabda yang bermaksud :
“Barangsiapa yang membunuh seseorang, maka si pembunuh itu tidak boleh mewarisinya, walaupun yang mati itu tidak punya ahli waris selain si pembunuhnya, walaupun yang mati itu bapa atau anak kepada si pembunuhnya. Bagi pembunuh tiada ada hak mewarisi “ (H.R. Ahmad)
oleh aremko 0 Bicara tamu
Thursday, September 18, 2008
Permohonan Pembahagian Harta Pusaka Kecil : Panduan Mengisi Borang A
Sebagaimana yang saya sebutkan dalam entri yang lalu, permohonan pembahagian harta pusaka kecil di pejabat pusaka kecil adalah dengan menggunakan 'BORANG A’.
Bagi memudahkan anda mengisi Borang A tersebut, di sini saya kongsikan satu link Panduan Mengisi Borang A untuk rujukan anda.
Sila klik link di bawah untuk mendapatkan panduan mengisi borang permohonan pembahagian harta pusaka kecil (Borang A):
oleh aremko 2 Bicara tamu
Saturday, September 6, 2008
CARA MEMOHON PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA KECIL
Permohonan pembahagian harta pusaka kecil adalah mudah dan murah sebenarnya.
Permohonan pembahagian harta pusaka kecil dibuat dalam bentuk petisyen menggunakan format borang yang telah disediakan oleh Pejabat Pusaka Kecil dinamakan 'BORANG A'.
Mula-mula dapatkan BORANG A dari mana-mana Pejabat Pusaka Kecil atau Pejabat Tanah yang terdekat dengan kawasan anda atau muat turun dari sini.
Lengkapkan BORANG A tersebut dan sediakan dokumen-dokumen yang perlu dilampirkan bersama iaitu, antara lain:
a. Bukti kematian -Salinan Sijil Kematian atau Permit Pengkebumian;
b. Bukti pemilikan hartanah -Salinan Suratan Hakmilik (geran) tanah yang diakui sah oleh pejabat tanah atau carian rasmi yang dibuat di pejabat tanah; atau Salinan Surat Perjanjian Jual beli bagi hartanah yang belum dikeluarkan hakmilik individu.
c. Salinan Kad Pengenalan atau Surat Beranak waris-waris
d. Salinan resit cukai tanah
e. Salinan Perjanjian Pinjaman jika tanah digadaikan kepada pihak bank
f. Maklumat hutang piutang si mati.
Untuk senarai lengkap dokumen-dokumen yang perlu disertakan bersama BORANG A, semak di sini.
Kemudian serahkan BORANG A tersebut beserta bayaran pendaftaran sebanyak RM10.00 di Pejabat Pusaka Kecil atau Pejabat tanah dimana harta pusaka itu berada atau tempat tinggal si mati.
Tunggu makluman tarikh perbicaraan oleh Pejabat Pusaka Kecil.
Hadiri perbicaraan...
Oleh itu, kepada waris-waris yang yang masih belum membuat permohonan pembahagian harta pusaka kecil eloklah segera membuat permohonan pembahagian pusaka tersebut di mana-mana Pejabat Pusaka Kecil bagi mengelakkan masalah yang lebih besar di kemudian hari.
oleh aremko 0 Bicara tamu
Thursday, August 21, 2008
Konvensyen Faraid Dan Hibah Kebangsaan 2008
- di wujudkan undang-undang khusus mengenai hibah;
- perlu diadakan penerangan secara berterusan berkaitan produk hibah
- pemantauan dan pengawasan secara berpusat hendaklah dilakukan terhadap agensi-agensi yang mengendalikan produk hibah;
- perlu ada Fatwa yang jelas berkaitan dengan hibah untulk dijadikan garis panduan.
oleh aremko 0 Bicara tamu
Sunday, May 4, 2008
Harta Pusaka Kecil: RM berapa yang kecil?
Harta pusaka kecil dari segi pengertian dan pengurusannya tertakluk kepada Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.
Secara ringkasnya boleh difahami dari Akta tersebut, harta pusaka kecil adalah harta pusaka yang terdiri dari harta tak alih sahaja (seperti tanah dan rumah) atau harta yang mengandungi harta tak alih dan harta alih (seperti wang tunai, saham, KWSP) yang jumlah keseluruhannya tidak melebihi RM600,000.00.
Maka harta pusaka yang ditakrifkan di atas sahaja secara rasminya dinamakan harta pusaka kecil yang boleh dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil.
Oleh itu bolehlah dikatakan mana-mana harta pusaka bukanlah harta pusaka kecil:
• Jika jumlah harta tersebut nilaiannya melebihi RM600,000.00;
• Jika harta yang ditinggalkan hanyalah harta alih sahaja seperti wang tunai, kereta atau saham;
• Jika ada wasiat sebagaimana wasiat yang dibuat berdasarkan Akta Wasiat 1959.
Walaubagaimanapun, jumlah maksimum RM600,000.00 bagi harta pusaka kecil akan berubah kepada RM2,000,000.00 bilamana pindaan kepada Akta Pusaka Kecil 1959 yang telah digazetkan berkuatkuasa nanti. Sila rujuk di sini atau rang undang-undang pindaan tersebut untuk maklumat lanjut.
Bagaimana menguruskan harta pusaka kecil ini dan dimana atau dengan pihak mana kita patut berurusan, insyaAllah kita sambung dalam post akan datang.
oleh aremko 0 Bicara tamu
Wednesday, December 12, 2007
Apa kata kita mulakan dengan membaca buku
oleh aremko 0 Bicara tamu
Friday, December 7, 2007
Salah faham, kurang faham atau memang tak tahu langsung
1. Sikap waris.
2. Kurang pengetahuan berkaitan ilmu pewarisan harta mengikut syariah.
2. Kurang faham sistem pentadbiran dan perundangan negara yang berkaitan.
Sikap Waris
Kurang pengetahuan berkaitan ilmu pewarisan harta mengikut syariah
Kurang faham sistem pentadbiran dan perundangan negara
Ilmu... Ilmu... Ilmu... Jom belajar...baca...bertanya...
oleh aremko 0 Bicara tamu
Wednesday, December 5, 2007
Kenapa sampai jadi begini?
KUALA LUMPUR 10 Julai – Nilai hartanah dan jumlah wang yang tidak dituntut disebabkan isu pewaris yang tidak dapat diselesaikan, terdiri daripada semua kaum di negara ini, mencecah RM40 bilion sehingga kini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM38 bilion terdiri adalah hartanah kaum Melayu.
“Sebanyak RM1.8 bilion wang yang tidak dituntut dari Pendaftar Wang Yang Tidak Dituntut dan wang tidak diselesaikan pewarisnya yang berada di bawah kawalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, koperasi-koperasi dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) terdiri daripada harta semua kaum bernilai RM70 juta. - Utusan Malaysia 11 Julai 2007
oleh aremko 0 Bicara tamu
Saturday, December 1, 2007
Salam Bicara
Weblog Bicara Pewarisan Harta ini diwujudkan sebagai medium perkongsian ilmu dan pengetahuan serta sedikit sebanyak pengalaman saya berkaitan pewarisan harta pusaka termasuklah ilmu faraid, wasiat, hibah, amanah dan sebagainya.
Ambillah jika baik dan tegurlah andai ada yang tersilap. Semoga apa yang terpapar di sini dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita bersama.
Terima kasih atas kunjungan dan komen serta pendapat bernas anda, semoga kita dapat berjumpa jua di alam nyata.. insyaAllah.
- Rofizi Mohamed
a.k.a. aremko
Bicara Pewarisan Harta
oleh aremko



